Daisypath Happy Birthday tickers

Friday 23 November 2012

Benda Yang Paling Menyampah Berkaitan Exam



Ada beberapa subjek yang aku rasa tak penting langsung untok aku ulangkaji dan untok aku lulus. Masa sekolah rendah dulu, subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatanlah satu satunya peperiksaan paling mengarut pernah aku hadapi. Selalu kalau subjek ni, pembelajaran dia, kami pergi ke padang, cikgu bagi bola, dan semua main bola. Tiba-tiba time exam, cikgu tanya 'apakah bahagian tubuh badan yang perlu diregangkan supaya tulang belakang menjadi sihat dan kuat?' Aku blank gila. Yang aku ingat, cikgu cuma bagi bola dan tiup wisel lepas habis masa. Lalu,bagi soalan tu pun aku jawab, 'Susu anlene yang tertumpah di bahagian tubuh badan kita iaitu tangan.'

Kemudian, subjek Pendidikan Muzik, memang aku fail habis bab ni. Final exam aku dapat 7/100. Tapi cikgu time tu tambahkan lagi 33/100. Aku pun tak tahu. Padahal kerja aku dalam kelas tekan je piano walaupun bunyi piano tu dah mula bunyi macam trompet. Pendidikan Sivik adalah satu peperiksaan yang membuktikan aku pandai tanpa membaca buku. Sebab soalan dia senang belaka. Aku tak pernah langsung study Pendidikan Sivik ni. Pendidikan Seni pun sama, tapi masa aku sekolah rendah, sebelum exam aku selalu berlatih melukis dan mewarna sebab dulu aku minat. Tapi bila ada sekali tu, soalan dia suruh aku bawak kentang, hias kentang, letak warna cair kat hiasan kentang tu, kemudian cop atas kertas, aku dah jadi maleh dah dengan Pendidikan Seni ni.

Bila time exam ni, ada something yang aku tak suka sangat. Sama ada ianya berlaku sebelum,atau selepas exam:

1) Aku tak suka pergi exam awal. Sebab ramainya umat yang kerjanya selagi orang tu tak panggil masuk, selagi tulah dia tak nak lepaskan buku. Kalau aku pergi exam pukul 8.30, padahal exam tu pukul 9.00, kitorang akan disuruh tunggu di luar dulu. Time ni la budak-budak tengah bincang itu dan ini. Apa yang aku tak suka, bila diorang bincang benda yang aku tak tahu. Ah, sudah. Confident aku untok masuk exam dah merudum jatoh. Lepas tu, siap tanya aku lagi, dah lah benda yang dia tanya tu aku tak pernah dengar, kalau aku tak tahu jawab, dia akan bagi jawapan dia. Kurang ajar. Tadi tanya aku macam tak tahu apa-apa.

Umat umat yang sebegini, tolonglah insaf. Jangan berbincang dengan orang 30minit sebelum exam bermula. Lebih-lebih lagi time dah nak masuk dewan. Itu bukan tindakan cerdik namanya. Study yang macam tu, buat korang lagi risau,dan yang lagi teruk,kau buat orang lain risau.  Aku tahu korang super duper triper pandai. Cuma,tunjukkanlah kepandaian korang tu sebulan lebih awal ya.

2) Time sekolah dulu, benda ni tak ketara sangat. Tapi kat universiti, dah melampau pulak. Aku rasa leceh sangat kalau exam tu, banyak sangat ruang untok menulis nama,nombor matrik dan semua semua benda-benda tu. Kalau exam baru baru ni,  ada kertas soalan dan kertas jawapan. Dia berasingan. Kat kertas soalan, ada dua ruang nak tulis maklumat diri kita. Satu ruang untok Pengawas Peperiksaan. Satu lagi ruang memang dikhaskan untok tulis dalam kertas tu. Kalau dia tanya nombor matrik tak apalah. Ini dia tanya semua benda. Kat mana aku jawab exam,pukul berapa, hari apa, subjek apa, kod subjek apa, lecturer siapa. Kalau kat kertas jawapan pun sama. Aku mengulang tulis maklumat diri empat kali. Lima minit aku dihabiskan untok tulis je benda-benda tu. Serius. Aku daripada senang nak ingat fakta,terus tak ingat bila tulis bioldata diri aku.

3) Aku tak suka kalau ada orang tanya sebelum masuk dewan peperiksaan, "Weh,kau dah baca semua?"

Serius doh. Soalan ni buat aku rasa macam aku tak baca apa-apa. BACA SEMUA? Gila kau. Daripada aku confident aku dah complete semua chapter,bila ditanya soalan macam ni,aku dah gabra habis. Semua chapter yang aku baca seolah-olah macam aku baru baca satu chapter. Lagipun aku menyampah soalan macam tu kalau aku sendiri yang tak baca habis. Lebih-lebih lagi kalau subjek Sains dulu. Aku takkan jawab soalan bodoh macam tu.




4) Aku tak suka tengok orang keluar awal bila time exam. Aku gabra sangat bila ramai ramai orang keluar exam. First, sebab nampak macam aku ni tak berapa pandai. Yelah,diorang semua keluar awal, aku je tercongok tinggal sorang-sorang dalam kelas. Yang kedua, aku rasa dah takde feel nak buat exam. Bila diorang keluar, macam macam benda yang aku fikir pasal kebebasan diorang. Aku terbayangkan bertapa indahnya perasaan apabila dah keluar dari dewan. Dengan itu, fokus aku terganggu dan jawapan aku pun cincai macai.

5) Handphone berbunyi. Pergghh..Ini yang paling kurang asam. Kalau student punya phone,aku boleh tahan lagi. Sebab biasalah, budak budak terlupa nak off atau silent handphone. Tapi ni Pengawas Peperiksaan sendiri yang berbunyi handphone. Selalu kalau phone diorang berbunyi,aku akan menari dan berjoget duduk sambil pandang dengan muka kejam kat Pengawas Peperiksaan tu. It's not about a joke. It's all about sending a message.

6) Lepas exam,ada puak yang jadi penanda kertas peperiksaan. Benda ni selalu berlaku kat exam yang ada soalan objektif. Lepas exam, keluar sahaja dewan, selalunya ada puak yang duduk dalam kelas, dia akan buka buku teks,lepas tu check balik jawapan-jawapan yang dia buat. Dah habis dia check semua, dia dah dapat markah dia. Kemudian,kertas dia yang bertanda ni akan menjadi rujukan student lain untok diorang check markah diorang pulak. Kertas ni tak pernah dapat kat aku. Selalu aku tengok je kawan-kawan aku tanda kertas diorang sendiri refer kertas yang dah bertanda. Kalau dapat kat aku, aku koyak-koyakkan lepas tu buang dalam pam tandas.

7) Aku benci umat yang bagi soalan spot, tapi soalan dia haram tak keluar. Aku pun pernah jadi umat macam ni jugak. Dan aku kena banned dalam masa beberapa hari. Masalahnya, benda ni betul-betul menyusahkan orang. Aku banyak kali kena. Cakap masuk bab 1,4,5,6,8,9,10 dan 11. Tapi yang betul-betul masuk bab 2,3,7,12. Bab yang lain semua tak masuk. Yang masuk pun bab 1. Soalan 1. 1 markah. Benda ni membuatkan harapan untok lulus sangatlah tinggi,tapi bila masuk exam, harapan tu hancur berkecai. Selalu kalau orang dah bagi soalan spot, benda tu je kita telaah. Bila tak masuk,rasa macam buang masa sangat-sangat baca bab yang tak masuk tu duaparuh mati (sebab 'separuh' itu terlalu mainstream).

8) Aku tak suka bilik exam yang terlalu besar. Exam aku jarang jarang ada kat dewan besar. Selalunya ada kat kelas-kelas yang kecik je. Sebab apa aku tak suka yang terlalu besar? Sebab makin besar tempat tu, semakin ramailah Pengawas Peperiksaan yang ada. Semakin ramai Pengawas Peperiksaan,semakin tipislah untok aku bertanya soalan :P

Erk..aku nakal sikit. Sikit je lah. Dulu kat sekolah selalu buat. Sekarang jarang-jarang buat. Kalau tak faham soalan,aku akan tanya direct dengan orang sebelah aku. Benda ni kalau kat sekolah, aku selalu tanya kalau exam math. Kalau kat MiCoST, aku bukan nak tanya jawapan,aku just nak tanya maksud perkataan dalam Bahasa Inggeris. Kalau kat dewan, dah lah luas, ramai Pengawas Peperiksaan, sebarang pergerakan aku mudah dihidu. Kalau kelas kecik, Pengawas Peperiksaan mestilah sikit. Saat paling heaven adalah apabila Pengawas Peperiksaan yang seorang tu keluar dari kelas. Selalu dia keluar nak ambil angin sikit atau pergi ke tandas, atau dia nak bincang dengan Pengawas Peperiksaan yang ada kat kelas sebelah. Time tulah waktu aku nak tanya semua persoalan kat orang sebelah sehinggalah orang sebelah aku baling pembaris besi kat dahi aku.

9) Meja kecik. Semakin besar badan aku (walaupun tak besar besar pun), semakin kecik meja yang aku dapat. Seingat aku, masa tadika, meja di tadika boleh digunakan oleh 3 lagi orang kawan seusia aku. Memang besarlah. Masa sekolah rendah, kecik sikit,meja kayu. Masa sekolah menengah, aku rasa meja tu tak cukup ruang,tapi still dikira sederhana lagi. Tapi sampai universiti, mak aih. Nak letak lengan pun tak muat. Apatah lagi nak letak kertas peperiksaan, letak pensel lebih,pembaris, pemadam, slip peperiksaan. Meja terlalu kecik menjadikan aku tak selesa untok menulis.

Kat universiti,dia tak panggil meja. Dia panggil mejusi. Meja+kerusi. Mejusi ni memberikan disadvantage besar kat student yang kidal. Payah woo.. Mejusi yang kecik ni tak mesra pengguna. Nak menulis payah, nak letak barang payah, nak tulis jawapan panjang payah,perghh..aku harap kerajaan bolehlah tukar semua mejusi ni menjadi meja kat sekolah tadika aku balik. Boleh aku ajak lagi 3 orang kawan untok bincang sama-sama guna satu meja.



PMR dah habis. UPSR dah habis,tinggal SPM dengan STPM lagi. Masa aku form 3 dulu, junior-junior aku selalu minta aku ajar Sejarah untok PMR. Aku cakap, aku tak nak ajar sebab diorang still Form 1. Awal gila nak belajar. Form 1 kot. PMR ada lagi dua tahun. Sekarang, aku ada kat universiti, dan diorang pun dah nak ambil SPM. Cepat betul masa berlalu. Serius. Aku doakan kepada mana yang exam tu, jangan malas sangat dan jangan rajin sangat.

Tips dia mudah, kalau subjek membaca, korang kena habiskan baca semua chapter paling lewat 6 hari sebelum exam. Contohnya kalau exam Sejarah hari Selasa, so,korang dah kena baca semua benda selewat-lewatnya hari Rabu minggu sebelum tu. Hafalkan sikit-sikit apa yang patut. Kemudian,korang rehat dalam dua hari,, hari ketiga sebelum exam, baca balik,dan hafalkan segala-galanya. Hafalkan ikut bab. Jangan campur aduk segala bagai. Nanti korang mudah keliru dan lupa. Sehari sebelum exam, cari kawan yang pemalas-pemalas ni, suruh diorang duduk dengan korang,dan ajarlah mereka tentang apa yang korang dah baca. Korang buatlah ceramah atau pengajaran khas kat depan dia. Bercakap,dan kurangkan tengok buku sebab ini nak uji korang punye pemahaman dan ingatan korang tentang apa yang korang baca.

Aku bukan insan layak untok menulis benda ni. Tapi aku renung balik, Allah berikan aku sedikit markah sebab apa? Sebab Allah nak aku sampaikan apa yang sikit. Daripada aku dapat yang banyak,tapi aku tak pernah nak sampaikan apa-apa,lebih baik aku dapat sikit,dan berikan semua apa yang ada.


Maan Najaah bi taufiq wal hidayah!

Sunday 22 January 2012

Kisah Pohon Epal







Suatu ketika, hiduplah sebatang pohon epal besar dan kanak-kanak lelaki yang suka bermain-main di bawah pohon epal itu setiap hari.

Kanak-kanak itu suka memanjatnya hingga ke pucuk pohon, memakan buahnya, tidur dibawah keteduhan rendang daun-daunnya.
Kanak-kanak lelaki itu sangat sayangkan pohon epal itu.
Demikian juga pohon epal sangat sayang kepada kanak-kanak kecil itu.





Waktu terus berlalu.
Kanak-kanak lelaki itu kini telah dewasa dan tidak lagi bermain-main dengan pohon epal itu setiap hari, seperti kebiasaannya.





Suatu hari dia mendatangi pohon epal itu.
Wajahnya nampak sedih.
“Mari ke sini bermain-main lagi denganku” kata pohon epal itu.
“Aku bukan anak kecil yang bermain-main dengan pohon lagi” jawab kanak-kanak lelaki itu.
"Aku ingin sekali memiliki mainan, tetapi aku tiada wang untuk membelinya.”





Pohon epal itu menyahut, “Erm, maaf aku pun tiada wang.. Tetapi kamu boleh mengambil semua buahku dan menjualnya. Kamu boleh mendapatkan wang untuk membeli mainan idamanmu” . Kanak-kanak lelaki itu sangat gembira. Dia memetik semua buah epal yang ada di pohon dan pergi dengan penuh suka cita.
Namun, setelah itu kanak-kanak lelaki itu tak pernah datang lagi. Pohon epal itu kembali sedih.





Suatu hari kanak-kanak lelaki itu datang lagi.
Pohon epal sangat gembira melihatnya datang.
“Mari bermain-main denganku lagi” kata pohon epal.
“Aku tiada waktu” jawab kanak-kanak lelaki itu.
“Aku harus bekerja untuk keluargaku. Kami memerlukan rumah untuk tempat tinggal. Mahukah kau menolongku?”
“Maaf aku pun tidak memiliki rumah. Tetapi kamu boleh menebang semua dahan rantingku untuk membina rumahmu” kata pohon epal itu.



Kemudian anak lelaki itu menebang semua dahan dan ranting pohon epal itu dan pergi dengan gembira.
Pohon epal itu juga merasa bahagia melihat anak lelaki itu gembira. Tetapi anak lelaki itu tak pernah kembali lagi. Pohon epal itu sekali lagi merasa kesepian dan sedih.





Pada suatu musim panas, anak lelaki itu datang lagi.
Pohon epal merasa sangat gembira menyambutnya.
“Jom bermain-main lagi denganku” kata pohon epal.
“Aku sedih” kata anak lelaki itu.
“Aku sudah tua dan ingin hidup tenang. Aku ingin pergi bersiar-siar dan berlayar. Mahukah kamu memberikan aku sebuah kapal?”



“Maaf aku tidak mempunyai kapal, tetapi kamu boleh memotong batang tubuhku dan menggunakannya untuk membuat kapal yang kau mahu. Pergilah berlayar dan bersenang-senanglah “



Kemudian, anak lelaki itu memotong batang pohon epal itu dan membuat kapal yang diidamkannya.
Dia pun pergi berlayar dan tidak pernah lagi datang menemui pohon epal itu.





Akhirnya, anak lelaki itu kembali setelah bertahun-tahun kemudian.



“Maaf anakku” kata pohon epal itu.
“Aku sudah tidak memiliki buah epal lagi untukmu.”
“Tak apa. Aku pun sudah tidak memiliki gigi untuk mengigit buah epalmu” jawab anak lelaki itu.
“Aku juga tidak memiliki batang dan dahan yang boleh kau panjat” kata pohon epal.
“Sekarang, aku sudah terlalu tua untuk itu semua” jawab anak lelaki itu.
“Aku benar-benar tidak memiliki apa-apa lagi yang dapat aku berikan padamu. Yang tinggal hanyalah akar-akarku yang sudah tua dan sekerat ini” kata pohon epal itu sambil menitikkan air mata.
“Aku tidak memerlukan apa-apa lagi sekarang” kata anak lelaki itu.
“Aku hanya memerlukan tempat untuk berehat. Aku sangat penat setelah sekian lama meninggalkanmu”
“Oooh, bagus sekali. Tahukah kamu, akar-akar pohon tua adalah tempat terbaik untuk berbaring dan beristirehat. Mari, marilah berbaring di pelukan akar-akarku dan berehatlah dengan tenang.”





Anak lelaki itu berbaring di pelukan akar-akar pohon.
Pohon epal itu sangat gembira dan tersenyum sambil menitiskan air matanya.




Apa yang dapat kita ambil dari cerita tersebut adalah ini adalah tentang cerita kita semua
Pohon epal itu adalah ibu bapa kita.
Ketika kita muda, kita senang bermain-main dengan ayah dan ibu kita.
Ketika kita semakin besar, kita meninggalkan mereka (seperti sekolah yang jauh dan universiti), dan hanya datang ketika kita memerlukan sesuatu atau dalam kesulitan.



Tidak peduli apa-apa pun, ibubapa kita akan selalu ada untuk memberikan apa yang dapat mereka berikan untuk membuat kita bahagia.
Kita mungkin berfikir bahawa anak lelaki itu telah bertindak sangat kasar terhadap pohon itu,
Tetapi kadangkala tanpa kita sedari begitulah sikap kita terhadap orang tua kita.



Orang inilah yang setiap hari bekerja keras untuk kesejahteraan kita, anak-anaknya.
Orang inilah, rela melakukan apa sahaja asal perut kita kenyang dan pendidikan kita lancar.

Sekarang, lihatlah ayah dan ibu anda ketika sedang tidur. Bagaimana jika saat kita jauh tidak disampingnya, kita tak dapat lagi melihatnya kerana mereka sudah tidur untuk selamanya.

Rasakanlah getaran cinta yang mengalir deras ketika mengingat

Betapa banyaknya pengorbanan yang telah dilakukan mereka ini untuk kebahagiaan anda.

Cintailah mereka kita, dengan sebenar-benarnya cinta

Ucapkan pada ibubapa kita sekarang, betapa kita mencintainya; dan berterima kasih atas seluruh hidup yang telah dan akan diberikannya pada kita.

Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika esok hari mereka “orang-orang dikasihi itu” tidak lagi membuka matanya, selamanya..



Aduhai ayah, ibu… terima kasih engkaulah pelita dalam hatiku.. 
Ya Allah Ya Ghaffar

Tak kuasa lagi aku merangkai kata ini… 
Dan hanya permohonan dari lubuk hatiku yang penuh noda dan dosa dengan rahmatMu yang meliputi segala sesuatu Kasihanilah aku dan kedua orang tuaku… 
Demi RahmatMu yang mendahului murkaMu, daku bermohon, ampunilah dosa kedua orang tuaku

Duhai Zat yang selalu mendengarkan jeritan inilah daku yang merendahkan diri dihadapanMu. 
Amin

Saturday 14 January 2012

Larangan Mengejek & Mempersenda

Assalamualaikum...
Dalam kehidupan seharian,kita dikelilingi oleh teman-teman yang tidak semuanya faham dan mengamalkan tunutan ISLAM. 
Begitu sadis telinga tatkala mendengar segelintir anak-anak muda ISLAM begitu mudah memanggil rakan-rakan mereka dengan nama haiwan, tidak kurang juga dengan perkataan-perkataan yang berbaur lucah dan kesat. Ada juga diantara perbuatan mereka yang memanggil haiwan dengan nama rakan mereka. MasyaALLAH!  Lebih teruk lagi, ada juga yang menunjukkan simbol-simbol atau isyarat lucah begitu umum, tanpa rasa segan silu dengan makhluk ALLAH yang lain berada disekitarnya. Harus diingat kembali kita tinggal dimuka bumi ini bukan hanya manusia sahaja, JIN, SYAITAN, HAIWAN, TUMBUHAN dan INGAT kedua MALAIKAT RAQIB dan MALAIKAT 'ATID yang mencatat kebaikkan dan keburukan kita.
  Sebagai peringatan buat diri ini dan semua, kita singkap kembali LARANGAN ALLAH mengenai hal ini yang telah disebutkan dalam AL QURAN yang maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim." (Surah Al Hujurat, Ayat 11)

Jelas dan terang larangan ALLAH dalam ayat ini yang melarang umat-NYA untuk merendah-rendahkan sesama mereka tidak kira lelaki atau perempuan. Maksud merendah-rendahkan ialah memperkecilkan rakan kita sehingga dia berasa tersinggung ataupun tidak dengan perbuatan kita itu. 

Lihat pada ayat ini:

'...'Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain;...'

 Berbalik kepada masalah tadi, bagaimana seorang  rakan ini memanggil rakannya yang lain dengan gelaran haiwan, contohnya yang selalu dari mulut anak muda masa kini, 'BABI' ataupun 'ANJING'. Situasi kini bukan hanya menggelar rakan mereka dengan panggilan sedemikian, bahkan ada juga yang menyamakan rakan mereka dengan haiwan tersebut! 
Lihat ayat ini:
'....dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik)...'

Sudah terang jelas dan nyata bahawa ALLAH begitu melaknat mereka yang melakukan perbuatan sedemikian, bahkan mereka yang melakukan sedemikian rupa boleh jatuh FASIK!
Lihat ayat ini:
'...Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim...'

 Disini ALLAH menjelaskan kepada kita agar segera bertaubat jika telah melakukan perbuatan tersebut. Penjagaan LISAN adalah penting agar perkara sebegini tidak berlaku, selain kekuatan diri dengan ilmu2 ISLAM yang diAMALKAN yang pasti membentengi kita daripada godaan SYAITAN dan NAFSU!

Thursday 1 December 2011

Cukuplah Aku Mencintai Dirimu Dalam Diam



Kalau kita sukakan seseorang, jangan beritahu si dia. Nanti Allah kurangkan rasa cinta padanya.
Tapi luahkan pada Allah,
beritahulah Allah.
Allah Maha Mengetahui siapa jodoh kita.
Cintailah dia dalam diam,
Dari kejauhan dengan kesederhanaan & keikhlasan.
Jika benar cinta itu kerana Allah, maka biarkanlah ia mengalir mengikut aliran Allah kerana hakikatnya,
ia berhulu dari Allah, 
maka ia pun berhilir hanya kepada Allah!

"Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah."
(Adz-Dzariat : 49)

Tetapi, jika kelemahan masih nyata dipelupuk mata maka bersabarlah, berdoalah & berpuasalah.

"Dan janganlah kamu mendekati zina ; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk."
(Al Israa : 32)

Ketika mendambakan sebuah cinta sejati yang tak kunjung datang, 
Allah S.W.T mempunyai Cinta dan Kasih yang lebih besar dari segalanya & dia telah menciptakan seseorang yang akan menjadi pasangan hidupmu kelak.
Ketika kau merasa bahawa kau mencintai seseorang,
namun kau tahu cintamu tak terbalas,
Allah S.W.T tahu apa yang ada di depanmu & Dia sedang mempersiapkan segala yang terbaik untukmu.


Cukup cintai dalam diam bukan kerana membenci hadirnya tetapi menjaga kesuciannya bukan kerana menghindari dunia tetapi meraih syurga-NYA.
Bukan kerana lemah untuk menghadapinya tetapi menguatkan jiwa dari godaan syaitan yang begitu halus dan menyelusup.
Cukup mencintai dari kejauhan,
kerana hadirmu tidak akan mampu menjauhkan dari ujian,
kerana hadirmu hanya akan menggoyahkan iman dan ketenangan,
kerana mungkin membawa kelalaian hati-hati yang terjaga.
Cukup cintainya dengan kesederhanaan.
Memupuknya hanya akan menambah penderitaan,
menumbuhkan harapan hanya akan membumbui kebahagiaan para syaitan.
Cintailah dengan keikhlasan.
Kerana tentu kisah Fatimah dan Ali bin Abi Talib diingini hati.
Tetapi sanggupkah jika semua berakhir seperti sejarah cinta Salaman Al Farisi..??

"Boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(Al- Baqarah : 216)


Jangan memberi harapan pada yang belum pasti,
kelak ada insan yang bakal dilukai.
Jangan menaruh harapan pada yang belum tentu dimiliki,
nanti hati yang kecewa sendiri.
Sebaliknya, gantunglah segenap pengharapanmu kepada Yang Maha Memberi,
nescaya dirimu tak sesekali dizalimi,
kerana Dia mendengar pengharapanmu setiap kali & Dia menunaikannya dengan cara-NYA yang tersendiri.
Cukup cintai dalam diam dari kejauhan dengan penuh kesederhanaan & keikhlasan.
Kerana tiada yang tahu rencana Tuhan.
Mungkin saja rasa ini ujian yang akan melapuk atau membeku dengan perlahan.
Kerana hati ini begitu mudah untuk dibolak-balikkan.
Serahkan rasa itu pada Yang Maha Memberi dan Memilikinya.
Biarkan Dia yang mengatur semuanya hingga keindahan itu datang pada waktunya.

"Barangsiapa yang menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya  akan terjaga."
(Umar Bin Khattab ra)

If you really love him / her you won't touch him / her.
Not even the slightest bit.
You'll protect him / her dignity sacredness as a muslim.
Just hold her in your heart for a few years...
Then you can do it the halal way.

"Sesiapa sahaja yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah & menikah kerana Allah, maka beerti ia telah sempurna imannya."
(HR. Al-Hakim)


P/S : Sebelum tiba waktunya untuk kamu halal bersama si dia, tahanlah hatimu. Tahanlah perasaanmu. Jika perasaan itu tidak tertahan lagi, coretkan segala isi hatimu tentang cinta dan rindu, tentang doa dan harapanmu padanya dalam tulisan. Dan simpanlah warkah yang tidak beralamat itu sebaik mungkin.

P/SS : Apabila tiba saatnya kamu disatukan, maka serahkanlah segala isi hatimu itu padanya. Dia pasti bahagia menerimanya, tetapi jika waktu itu belum tiba, biarlah ia menjadi RAHSIA antara dirimu dan Sang Pencipta sahaja kerana kelak jika dia bukan milikmu, bakarlah coretan itu bersama hilangnya wajah si dia dari hatimu...

Sekian... 

Sunday 27 November 2011

(MUHASABBAH) AKU TAK SEMBAHYANG TAPI AKU BERJAYA



Kita tahu bahawa ilmu itu cahaya, dan tidak akan memasuki hati-hati yang gelap, tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha. Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan duga. Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.
Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah apa yang kita faham selama ini tidak benar?
Maka saya hendak bertanya kepada anda.
Adakah anda tahu apa itu istidraj?
Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?
Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.
Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Kita lihat contoh yang mudah. Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusia yang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.
Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.
Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,
“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”
Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.
Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.
Nah… Apakah itu yang kita mahu?
Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?
Saya yakin, 99% akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”
Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.
Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.
Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.
Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.
Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.
“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”
ALLAH menjawab,
“ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”
Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah studi, gagal dalam perniagaan walau kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,
“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”
Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.
Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.
Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?
Saya yakin tidak..
Anda tenang sekarang?
Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.
Aku berdosa, tetapi aku berjaya…. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.
Mari kita sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula
Yang baik hanya dari Allah SWT, yang buruk itu dari diri saya sendiri…
Wassalam.


Saturday 19 November 2011

10 Gangguan Syaitan Ketika Solat



Antara gangguan ketika melakukan solat adalah:
1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratulihram
Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.
Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.
Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.
2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat
Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.
“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah kekiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim).
3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan
Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kalian solat,syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan
Abu Hurairah berkata, “Rasulullah bersabda yangbermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.
Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi danjika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.
Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,’Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!’ Sehingga orangitu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).
5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat
Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.
Rasulullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.
Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud(thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (HadisRiwayat Bukhari dan Muslim).
6) Melakukan gerakan yang tidak perlu
Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.
“Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).
7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat
Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat kekiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu,selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).
8) Menguap dan mengantuk
Rasulullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.”(Hadis Riwayat Thabrani).
Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya(menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
9) Bersin berulang kali ketika solat
Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).
Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”
10) Terasa ingin buang angin atau buang air
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (HadisRiwayat Muslim).
Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.
~Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.